Suami Aku Ustaz




Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah baru sebentar tadi aku berjaya menghabiskan bacaan novel 'Suami Aku Ustaz' karya Hannah Dhaniyah. Tercapai juga 'target' aku untuk menghabiskannya sebelum tahun 2013 menjengah lusa ini.

Rasanya dah terlalu lama aku tak buat review (ulasan) tentang apa-apa. Akhir sekali, tak silap aku masa belajar. Hihihihi...sebabnya aku dah lama tinggalkan novel. Dulu aku memang pengumpul novel, tapi sejak beberapa kali asyik dihidangkan dengan novel cinta yang hampir sama, aku jadi bosan dengan semua tu. Akhirnya aku cuma beli tapi tak baca. Buruk perangai aku ni. Ini pun atas permintaan rakan aku untuk memberi ulasan tentang novel 'Suami Aku Ustaz'. Ya, novel yang aku beli ini adalah cetakan keenam pada Oktober 2012.

Sebenarnya aku tertarik dengan tajuk 'Suami Aku Ustaz'. Jarang tajuk sebegini digunakan untuk sebuah novel. Selain kedengaran 'catchy', ianya mengingatkan aku pada cerita-cerita lama. Iyalah...mana-mana gadis yang berkahwin dengan seorang ustaz, pasti tanggapan orang ustaz tu skema, alim, taksub agama dan lain-lain. Tapi apabila membaca novel ni, tidaklah seperti itu. Dari tajuk sahaja, aku sudah tahu fokus utamanya tentang suami dan ustaz. Sudahlah bersuami di usia muda, ustaz pula tu! Tak ke haru? Hihihi...

Novel ini mengisahkan seorang gadis bernama Nur Alisa yang terpaksa berkahwin atas kehendak ibu bapanya dengan seorang ustaz bernama Muhammad Nur Hafiz dalam usia yang muda, 17 tahun ketika alam persekolahan. Semuanya gara-gara Alisa yang liar dan merisaukan ibu bapanya sebelum berangkat ke Mekah.

Setelah bernikah, macam-macam situasi kelakar yang terjadi antara Alisa dengan Hafiz tambahan pula, Hafiz mengajar subjek Pendidikan Islam dalam kelas Alisa. Bila Alisa mula buat perangai, Hafiz akan mengenakan Alisa di dalam kelas. Semuanya kerana Alisa suka sangat mencabar suaminya.

Mengenai perwatakan, terus terang aku katakan aku tak suka watak Alisa. Tapi disebabkan dia remaja yang berkahwin awal, maka aku consider jugalah dengan sikap dia yang tak matang dan minta kepala diluku saja. Geram sebab semuanya ikut suka dia jer. Tapi menariknya watak Alisa diperkembangkan dengan baik sekali daripada dia seorang yang pentingkan diri sendiri kepada sedar kesalahan dirinya sendiri dan mula ambil berat perasaan orang lain. Di akhir cerita, aku menyukai Alisa kerana dia semakin mempertingkatkan dirinya sendiri ke arah kebaikan.

Muhammad Nur Hafiz. Yes! Aku suka dengan watak ustaz seorang ini. Bagi aku, dialah watak paling hebat dalam novel ini walaupun Alisa selalu buat perangai. Seiring dengan pangkat 'suami' dan 'ustaz', penulis berjaya menggambarkan Hafiz sebagai suami yang penyayang, bertimbang rasa, penyabar dan berilmu di samping Alisa. Ya, sukar sekali menemui seorang lelaki seperti ini. Tetapi penulis tidak menggambarkan Hafiz secara melampau tetapi cukup untuk membuatkan aku sangat menghormati watak Ustaz Hafiz ini.

Keseluruhannya, aku sangat sukakan naratif novel ini kerana ianya berkisarkan cinta kepada manusia yang berpaksikan cinta kepada Allah SWT. Ianya tidak terlalu romantik tetapi cukup harmoni. Konflik dalam novel ini tidaklah terlalu berat tetapi lebih kepada konflik dalaman diri Alisa. Tidak terlalu complicated sehingga tiada jalan penyelesaian.

Novel ini 'penuh'. Bila aku maksudkan novel ini 'penuh' adalah kerana isinya penuh pengajaran. Setiap babak ada pengajaran, perkaitan antara kehidupan dengan sejarah Islam dan semuanya tentang Islam. Selain penjelasan daripada watak Ustaz Hafiz sehinggalah monolog Alisa tentang Islam, semuanya aku suka. Apa pun yang kita lakukan ada sebab dan semuanya berbalik kepada Allah SWT.

Dan yes! Tujuan novel ini dihasilkan adalah untuk mendidik pembaca mengenai Islam dan supaya kita muhasabah diri kita di dalam kehidupan seharian kita. Banyak info yang aku dapat, tak kurang juga info yang refresh balik memori aku tentang Islam.

Yang seronoknya apabila aku menghampiri bab-bab menuju ke akhir novel, tiba-tiba aku terasa dekat dengan novel ni. Latarbelakangnya adalah tempat yang hampir dengan tempat tinggalku dahulu. Jadi lebih senang aku membayangkan cerita ini.

Yang paling aku suka, penulis tidak menggambarkan secara terperinci bagaimanakah rupa kesemua watak dalam novel ini. Tidak dinyatakan Ustaz Hafiz tu hensem macam siapa dan Alisa cantik macam siapa. Cuma ada diberi beberapa hint saja dalam novel ni. Baguslah, sekurang-kurangnya pembaca tak disogok macam biasa tentang rupa paras fizikal watak utama.

Aku beri 5 bintang untuk novel ini :) Cuma aku harap lepas ini pihak penerbitan tolong semak semula penanda wacana novel ini. Mula-mula baca aku sudah pening dengan hal ni. Mengganggu konsentrasi pembacaan saja.

Aku galakkan buku ini untuk dimiliki. Bagi mereka yang terbiasa baca novel cintan-cintun, melankolik bagai, berubahlah baca novel seperti ini. Banyak pengajaran dan lebih baik daripada membaca novel yang mempertuhankan cinta lebih daripada Allah. Bosan dow baca novel cinta macam tu. Mana tak pembaca perempuan asyik berkhayal jer nak Mr.Right. Ceh!

Wassalam...

Ingin mengenali penulis Suami Aku Ustaz? Klik Hannah Dhaniyah.

Comments

  1. Accidentally found this entry.

    Jazakillahu khayr atas reviewnya.
    Moga SAU bermanfaat buat kita semua.
    ^___^

    ReplyDelete
    Replies
    1. hihihihi...afwan sis. insyaAllah. sekarang sedang shooting novel ni kan? tak sabar tengok hasilnya. harap tak lari sangat dari cerita asal.

      Delete

Post a Comment

Popular Posts