Jangan Biarkan 'Bayang' Menghantui Anda...



Tajuk : Bayang
Jenis Buku : Antologi Cerpen
Genre : Seram/Misteri/Psiko
Penulis : 22 orang penulis
Terbitan : Khairy Tajudin Resources
Tahun Terbitan : Januari 2017
Halaman : 256 muka surat
RM25 (semenanjung) /RM27 (Labuan/Sabah/Sarawak)

'Bayang' merupakan himpunan cerpen seram, misteri dan psiko. Terdapat 22 buah cerita oleh 22 penulis berbakat baru dan lama.

CANTIK - Izzat Haikal
Sebuah kisah psiko yang meloyakan, bagaimana sikap tamak manusia mendorong tingkahlaku tidak berperikemanusiaan demi mencapai matlamat yang memusnahkan hidup orang lain, sekaligus mencetus trauma si mangsa. Gambaran penceritaan penulis sangat mengerikan.

KHIANAT - Amirul Amsyar
Apabila janji cinta seorang lelaki dikhianati oleh kekasihnya dan memilih cinta sesama jenis. Lelaki itu bertekad untuk memberi pengajaran kepada bekas kekasihnya itu secara psiko. Lirik lagu yang diselitkan menambah suasana cerita yang penuh dengan rasa dendam dan dikhianati. 

SESAL - Sharina Elisa
Keputusan yang telah dibuat oleh seorang gadis dan kekasihnya menyebabkan dia tidak diterima oleh sesiapa akibat cinta mereka terhalang oleh keluarga. Isu membelakangkan agama dan berjanji sehidup semati cuba diangkat oleh penulis dalam konteks misteri dan seram.

GHAIB - Penatimur
Orang kampung bingung dengan kejadian yang sama berlaku berulangkali tanpa dapat dikesan siapa pelakunya. Penagih dadah? Mat rempit? Hantu? Tiada saksi dan tiada bukti untuk membuat pertuduhan. Penulis cuba membawa pembaca merungkaikan kes misteri ini.

MISTERI RUMAH LAMA - Ahmad Safarman Dollah
Kisah sebuah rumah yang sudah lama ditinggalkan setelah seorang ibu mengandung mati akibat buatan orang. Sejak itu penduduk kampung sentiasa diselubungi perkara aneh dan seram ketika melintasi rumah itu. Penulis membawa pembaca merasai suasana seram yang dilalui oleh watak-watak.

PERJANJIAN - Farhanah Atiqah
Seorang ayah terpaksa melakukan apa saja demi memastikan anaknya dapat meneruskan kehidupannya setelah dia kematian isterinya. Dia diberi satu peluang melalui satu perjanjian yang akan menentukan nasib anaknya. Gambaran psiko dan seram mewarnai kisah ini. Geram menguasai diri.

REALITI DALAM MIMPI - Helmi Shukry
Tiada apa dapat membezakan antara realiti dan mimpi. Semuanya terasa seperti benar-benar berlaku. Berlari menyelamatkan diri daripada sesuatu yang dirasakan bahaya dan menakutkan tanpa mengetahui apa yang mengejar. Bersikap mementingkan diri sendiri walaupun tahu ada yang memerlukan bantuan. Perbuatan jahat sendiri mengejar si pelaku tanpa kompromi. Walaupun sedikit pening, kisah ini punya misteri tersendiri.

SANA ADA POKOK - Engku Shariful Azni
Kasih sayang antara anak dan ibu yang tidak terpisah walaupun si ibu dituduh sebagai ahli sihir. Pohon itulah yang menenangkan si anak daripada segala duka, tempat berteduh dan mengadu setelah ibunya tiada. Sampai satu masa, si anak kembali ke pangkuan ibunya di hadapan penduduk kampung yang mengejarnya. Mengharukan.

PENUNGGU ASRAMA - Shahiran Ruslan
Pengalaman seorang warden asrama yang bertugas di sekolah baru. Kejadian yang berlaku, di luar kawalannya. Lebih menyeramkan apabila anaknya mula bercakap sendirian.

OBSESI - Diha ZamNoor
Ketakutan seorang gadis setelah mendengar kisah seram Sang Algojo sehingga terbawa-bawa dalam kehidupan sehariannya. Dia tidak dapat menyembunyikan ketakutan itu. Sang Algojo dapat menghidunya dan kini dia berdiri di hadapan gadis itu.

JIWA MATI - Amir Roza
Kejadian aneh mula berlaku apabila seorang wanita keluar bekerja di luar kawasan. Sejak itu dia sentiasa menerima SMS senarai nama individu yang tidak dikenali. Setiap nama itu ditemui mati dalam keadaan mengerikan. Apa sebenarnya yang terjadi?

KAPSUL GANTIAN - Nazrie Haslieanie
Kuasa yang diberikan untuk menukar nasib buruk kepada nasib baik. Apabila ia jatuh ke tangan mereka yang berniat jahat, maka binasalah ia. Ia seolah-olah mesin waktu. Berfungsinya kapsul ini bergantung kepada situasi si pemilik.

KUCING ADIK - Nurimas SN
Kasih sayang seorang kanak-kanak terhadap kucingnya. Kehilangan kucingnya sangat memberi kesan kepada tuannya. Suatu hari, kucingnya kembali namun sesuatu telah terjadi. Sesuatu yang gelap, misteri dan menyeramkan menghantui keluarga kanak-kanak itu.

KUNCI TAUBAT - Mohd Fathi bin Abu
Kesungguhan seorang abang membawa adiknya untuk tujuan penyembuhan daripada makhluk halus. Ada pesan dan pengajaran di dalam kisah ini berkaitan dengan agama Islam yang dipraktikkan dalam kehidupan seharian dan larangannya.

LOLIPOP - Deana April
Hidup seorang gadis mula dihantui dengan kehadiran sebatang lolipop di pintu rumahnya tanpa nama pengirim. Saban hari, dia merasakan dirinya diekori dan diperhati. Kehadiran kanak-kanak memakai baju merah jambu menambah misteri dan rasa takut si gadis. Apa kaitan si gadis, lolipop dan kanak-kanak itu?

MOTOBOT TERAKHIR - Nidra
Cinta sepasang kekasih terhalang oleh makcik si gadis. Akibat tertekan dengan takdir yang tidak menyebelahinya, dia bertukar menjadi gadis liar. Tahun berganti tahun, si gadis hidup tergapai-gapai dan dalam dunianya sendiri mengingati bekas kekasihnya. Tidak pasti apakah ianya realiti atau imaginasi.

PEMBURU - Asyiqin Jamali
Ketaksuban seorang remaja lelaki yang ingin menyertai sebuah kumpulan demi mendapat maruah, reputasi dan sanjungan para gadis menjebakkan dia ke dalam kesepakatan yang luar dari jangkaannya. Dia tidak pernah terfikir dia perlu melakukan sesuatu yang cukup sadis demi membuktikan ketaatannya pada kumpulan itu. Kisah ini gelap dan psiko.

RENG TUA MALEM - Qay Elfansuri
Demi mendapatkan kuasa dan ilmu sakti, mereka sanggup mencari hantu itu untuk mencuri sesuatu miliknya. Mereka tidak berfikir panjang akan akibatnya. Apabila rancangan itu diteruskan, mereka diganggu oleh makhluk tersebut tanpa henti. Ianya cukup seram dan misteri saat Reng Tua Malem memunculkan diri.

SUATU MALAM - Zakuan Faizz
Seorang lelaki diganggu setelah pulang lewat malam dari tempat kerjanya. Pelbagai peristiwa terjadi pada satu malam yang seram itu. Terlalu misteri sehingga dia tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku di hadapan matanya. Adakah manusia? Hantu? Atau imaginasinya sahaja?

TERISTIMEWA - Dia Farhana
Sikap terlalu menyayangi sesuatu secara berlebihan adalah perkara yang ditegah dalam agama. Sikap ini boleh membawa kepada halusinasi dan ketaksuban melampau. Seorang gadis yang terlalu menyayangi 'sahabat'nya menyebabkan dia bertindak kejam kepada sepupunya yang gemar bergurau. Akibatnya, dia menerima nasib yang sama seperti sepupunya. Cukup seram dan psiko.

MAFIA - Saiful Ghazali
Dendam membutakan mata. Tidak dapat mengenalpasti yang mana permata dan kaca. Orang yang dipercayai selama ini rupanya dialah yang menikam dari belakang. Orang yang disangka musuh rupanya dialah yang datang membantu. Sungguh misteri kehidupan ini.

DIA NENEK AKU - Rod Roman Riquelme
Orang yang paling dekat dengan kita, paling sayang pada kita, rupanya bukanlah seperti yang kita kenal. Walaupun sentiasa diejek oleh rakan-rakan sekolah, demi kasih sayang terhadap neneknya, si cucu menentang habis-habisan fitnah yang bertebaran tentang nenek kesayangannya. Namun, segala-galanya meleset apabila dia sendiri menerima nasib yang sama. Adakah itu neneknya? ...atau hantu?

Antologi cerpen Bayang merupakan penglibatan ketiga saya di dalam penulisan cerpen.



Boleh terus beli daripada saya melalui PM Facebook Nurdiyanah Dzulkarnain untuk maklumat lanjut.

Comments

Popular Posts