Arang & The Magistrate
Bismillahirrahmanirrahim...
Baru saja selesai menonton 20
siri drama Korea bertajuk Arang & The Magistrate. Dah lama tak layan drama
Korea. Semuanya gara-gara drama ini ditayangkan di TV9 setiap Selasa dan Rabu
jam 9.30-10.30pm. Walaupun begitu, desakan umie mengakibatkan aku dan dia
menontonnya lebih cepat di external
hardisk. Huhuhu...terpaksalah jadi penterjemah dia.
Drama ini diklasifikasikan
sebagai :
P13
Penonton berumur di bawah 13 tahun memerlukan pengawasan dan
bimbingan ibu bapa atau penjaga ketika
menonton. Filem mengandungi unsur seram, menakutkan, adegan atau aksi negatif, unsur suspen dan
mengejutkan tetapi tidak berlebihan; jalan cerita yang sukar difahami dan unsur yang boleh mengganggu emosi
kanak-kanak.
Ya! Drama ini tidak sesuai untuk
ditonton oleh kanak-kanak kerana ianya genre fantasi, seram, fiksyen, romantik
dan komedi yang aku rasa orang dewasa bila tonton pun, silalah berhati-hati.
Bagi aku, aku set minda yang drama ini penuh unsur tahyul. Jadi sila jangan
ambil serius dan tonton secara santai dan sekadar hiburan.
Info dan sinopsis cerita boleh
Google sendiri. Aku hanya akan tulis pendapat dan pandangan aku sahaja di sini.
Tak dapat dinafikan sepanjang
menonton drama ini, aku sangat terhibur. Ya! Terhibur dengan jalan ceritanya
yang penuh misteri dan penyiasatan. Semuanya bermula dengan pertemuan Arang dan
Kim Eun Oh yang mempunyai kebolehan berkomunikasi dengan roh/hantu. Bermula daripada
itu, pengembaraan mereka berdua bermula demi mencari kebenaran di sebalik
kematian Lee Seo Rim iaitu Arang dengan bantuan Kim Eun Oh. Kim Eun Oh pula
terpaksa membantu Arang kerana dia mengesyaki kaitan Arang dan ibunya, Hong
Yeon melalui pin rambut ibunya yang dipakai Arang. Kim Eun Oh pula ketika itu
sedang menjejaki ibunya yang hilang di Miryang selepas 3 tahun. Arang pula hilang ingatan pada kisah silamnya. Dia langsung tidak ingat apa-apa. Persoalan bagaimana Arang hilang ingatan akan terjawab pada episod di mana Joo Wal teringat siapa Lee Seo Rim dahulu.
Sepanjang pengembaraan mereka,
hubungan antara Arang dan Kim Eun Oh mengisi jalan cerita ini. Mereka sering
berselisih pendapat dan kepala batu. Situasi mereka sangat kelakar kerana
masing-masing tidak mahu mengalah. Namun, sejak Kim Eun Oh dilantik menjadi
majistret secara paksaan oleh Arang, keadaan semakin berubah dan hubungan yang
terjalin antara mereka berdua membuatkan mereka saling memahami di antara satu
sama lain demi mencapai tujuan masing-masing. Mereka terpaksa bekerjasama
walaupun mereka saling menyakiti antara satu sama lain.
Terus terang aku katakan, aku
sangat kagum dengan hubungan kedua-dua mereka ini. Walaupun kedua-duanya saling
'cakap lepas', tapi mereka membina hubungan itu dengan baik, malah mereka
saling berterus terang. Dalam erti kata lain, mereka berdua ni tak pandai
berbohong. Dan daripada dasar itulah, secara perlahan-lahan mereka jatuh cinta
tanpa disedari.
Aku juga kagum dengan hubungan
Dol Swe dan Kim Eun Oh. Dol Swe, orang suruhan Kim Eun Oh, sangat setia di
sisinya ketika susah dan senang. Tapi bila sampai ke babak dia dan Bang Wool,
hilang gagah dan macho Dol Swe.
Setiap kali mereka bertemu, situasi pasti akan membuatkan penonton tertawa.
Kaitan Lee Seo Rim dan Hong Yeon
bagi aku, sangat relevan. Pengarah dan penulis skrip berjaya mencipta teka-teki
yang bersilang jawapannya. Malah selain kaitan antara mereka berdua, terdapat
kaitan di antara watak-watak drama ini yang menjadikan cerita ini lebih menarik
dan membawa kepada penyatuan perkaitan antara Lee Seo Rim dan Hong Yeon.
Aku sangat menikmati naratif
cerita ini sehingga ke episod 19. Tapi sayangnya, masuk episod ke 20, aku
sangat kecewa dan tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku. Tak keterlaluan
kalau aku katakan, episod akhir 'membunuh' keseluruhan jalan cerita Arang &
The Magistrate ini. Terasa sia-sia aku marathon bagai nak rak menonton. Aduh...dah
la aku yang beria mengajak mak aku tonton sekali. Akhirnya mak aku pun kecewa.
Semuanya masih diterima akal lagi
sehingga episod 19. Tapi bila persoalan Arang, siapa dalang di sebalik
kematiannya masih belum terjawab, seolah-olah menemui jalan buntu. Apabila
persoalan itu terjawab, jawapannya sangat mengelirukan penonton. Aku dah baca
review di beberapa blog, dan mereka juga seperti pening dengan episod akhir
ini. Ada juga yang ambil mudah dan tak kisah apa jua yang berlaku sebab
dipengaruhi hero dan heroin drama ini. Pelik aku dengan orang macam ni.
Pada pendapat aku, jawapan yang
diperolehi Kim Eun Oh itu sebenarnya datang daripada tindakan Lee Seo Rim
sendiri. Mungkin itu kot yang cuba dipaparkan oleh pengarah. Kalau aku jadi Kim
Eun Oh mesti kecewa gila. Episod akhir memang mengarut gila. Kalaulah pengarah
atau penulis skrip ubah sedikit penyelesaiannya dengan menunjukkan Lee Seo Rim
sebenarnya terlalu kecewa dengan apa yang terjadi dan apa yang dialaminya, dan
dia dah berputus asa dengan apa yang dia percaya, maka aku boleh terima lagi
pengakhiran begitu daripada dibiarkan tergantung dalam kesamaran.
Kim Eun Oh pula dengan secara tak
sengaja terjumpa sesuatu di perpustakaan rekod hidup dan mati si mati. Penemuan
Kim Eun Oh ini secara tak langsung menjawab bagaimana dia memperolehi kebolehan
berkomunikasi dengan roh/hantu. Jawapan ini berkait rapat dengan babak Kim Eun
Oh bertemu Dewa Maharaja Jed ketika dia kecil. Kata kunci (keyword) di babak ini ialah : Malaikat Pencabut Nyawa hanya akan
muncul apabila seseorang itu telah mati.
Babak 'perpisahan' Kim Eun Oh dan
Arang juga membuatkan aku tercengang. Blur
pun ada. Tapi aku rasa ianya terjadi kerana 'hukum' peraturan 'syurga' dan
'neraka' mereka. Mungkin pengarah dan penulis skrip cuba membuatkan Kim Eun Oh
berfikiran demikian. Semuanya ini berbalik kepada kata-kata moyang Bang Wool,
"Untuk pergi ke syurga, kamu perlu tinggalkan semua memori kamu.
Jadi, kamu tak akan ingat apa-apa tentang kehidupan kamu di dunia. Perkara yang
sama juga berlaku jika kamu pergi ke neraka. Memori kamu akan musnah dan begitu
juga kewujudan kamu dalam setiap memori orang-orang disekeliling kamu."
Jadi, apabila kedua-duanya
'berpisah', maka kata-kata moyang Bang Wool itu ada benarnya. Pendapat aku je
la jadi macam tu kot.
Apa pun aku suka kesemua watak di
dalam cerita ini terutamanya Kim Eun Oh, Hong Yeon, Joo Wal, Bang Wool, Dol
Sue, Mu Young. Watak mereka semua ini sangat kuat. Anda akan dapat lihat
perubahan pada setiap watak tersebut terutamanya Kim Eun Oh, Hong Yeon dan Joo
Wal. Ketiga-tiga watak ini akan mengalami perubahan yang besar sepanjang jalan
cerita.
Watak Dewa Maharaja Jed dan Yama bagi aku agak menjengkelkan. Apabila
mereka bermain Go (sejenis permainan seperti dam), siapa yang menang, maka dia
berhak menentukan apa perkara baik atau buruk yang akan berlaku kepada manusia.
Aku rasa babak ini macam bodoh je. Seolah-olah mereka bertaruh dan memperjudikan
nasib manusia. Nampak sangat kelemahan dalam kepercayaan mereka.
Yang lain bagi aku tak ada
masalah cuma ada beberapa kesilapan teknikal yang perlu diperbaiki. Aku tak hairan
sangat tentang ni sebab mana-mana production
house selalu buat kesilapan sebegini.
Lokasi penggambaran, aksi, props,
kostum, bunyi dan kesan khas, lagu dan muzik latarbelakang bagi aku cukup
menakjubkan dan aku amat menyukainya.
Daripada 5 bintang, aku bagi 3
bintang je atau sebenarnya aku patut bagi 2 bintang je? Kalau episod 20 tak
ada, aku mungkin boleh bagi 5 bintang, tapi disebabkan episod akhir ini
mencacatkan keseluruhan drama, maka aku bagi 3 bintang je. Maaf, aku tak dapat
menipu perasaan aku sendiri walaupun aku tersangatlah suka watak Kim Eun Oh itu.
Apa pun aku mengesyorkan supaya
tontonlah drama ini. Tak kering gusi dibuatnya. Hihihi...
Comments
Post a Comment