Aisyah Yang Cerdas & Dicintai
Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah...setelah sekian lama membeli, akhirnya berjaya juga menamatkan pembacaan untuk buku ini. Tak berapa ingat berapa lama masa yang diambil untuk menghabiskan bacaan ilmiah ini. Apa pun, baca buku sebegini memerlukan mood yang baik dan suasana yang tenang.
Sebenarnya dah lama aku nak beli buku ini tapi selalu aku tangguhkan kerana bila aku selak tiap helaian, agak sukar untuk dibaca kerana ada hadis-hadis yang banyak. Tapi akhirnya aku beli juga kerana grafik cover buku ini yang menarik hati aku untuk membelinya.
Aisyah Yang Cerdas & Dicintai versi Telaga Biru (cetakan September 2012) |
Buku Aisyah Yang Cerdas & Dicintai ditulis oleh Ahmad Ibnu Salim Baduwilan dan diterjemahkan oleh Kamran As'at Irsyad. Terbitan Telaga Biru. Aku tak dapat biografi si penulis. Jika ada sesiapa yang membaca entry aku ini dan tahu biografinya, harap boleh kongsi dengan aku :)
Buku ini bagi aku...lebih kepada biografi Siti Aisyah r.ha. Biografi atau sejarah Siti Aisyah sepanjang hidupnya bersama Rasulullah SAW. Daripada mula dilamar, kehidupannya sebagai isteri Rasulullah SAW sehinggalah beliau meninggal dunia. Ianya bukan sahaja berkisar tentang cerita Siti Aisyah semata-mata tetapi apa yang berlaku di sekelilingnya pada zaman itu. Setiap cerita disokong dan dibuktikan dengan beberapa ayat Al-Quran dan hadis-hadis yang telah dikumpul.
Buku ini aku ambil masa membacanya kerana mahu memahami, menghayati siapakah dia Siti Aisyah ini. Masa aku remaja dahulu, aku selalu beranggapan Siti Aisyah seorang anak kecil yang manja dan spoil setelah membaca beberapa peristiwa yang membuatkan aku berkata demikian (astaghfirullahalazim...ampunkanlah aku yang jahil dan hina ini :'( )
Aisyah Yang Cerdas Yang Dicinta versi IBS (versi asal mungkin) |
Tapi ternyata aku salah bila aku mula membaca buku ini. Banyak perkara dan peristiwa yang aku belum pernah dengar dan baca sebelum ini, ada di dalam buku ini. Tidak kiralah daripada si penulis atau tambahan daripada editor.
Subhanalllah...manis dan pahitnya kehidupan Aisyah sewaktu hidupnya...ketika bersama Rasulullah dan selepas kewafatan suaminya...
Serius aku terpana dan sangat kagum dengan tokoh wanita ini. Jauh meleset sangkaan dan pandangan aku sebelum ini (alhamdulillah perspektif aku berubah). Terasa kerdilnya diri ini apabila membaca buku Aisyah ini.
Buku ini sesuai dibaca oleh setiap lapisan masyarakat. Sesuai untuk rujukan remaja, yang sudah berumahtangga (kerana diterangkan bagaimana rumahtangga Aisyah dengan Rasulullah dahulu samada daripada perspektif lelaki atau wanita) dan sesiapa sahaja yang mahu mengetahui peribadi Siti Aisyah r.ha.
Aku tak dapat luahkan dengan kata-kata tentang buku ini tetapi sekiranya kamu mempunyai soalan begini :
- Siapa Aisyah?
- Bagaimanakah zaman kanak-kanaknya?
- Apa hebatnya Aisyah?
- Apa istimewanya Aisyah berbanding Khadijah dan isteri-isteri baginda yang lain?
- Kenapa Aisyah terpilih menjadi isteri Rasulullah melalui mimpi baginda?
- Kenapa Allah memilih Aisyah, bukan orang lain?
- Kenapa Aisyah sangat istimewa di mata Rasulullah?
- Siapakah yang Aisyah cemburu?
- Kenapa dalam hadis-hadis Rasulullah, kebanyakannya diriwayatkan oleh Aisyah?
- Apa terjadi kepada Aisyah ketika peristiwa fitnah ke atasnya?
- Apakah kepakaran Aisyah?
- Apakah sumbangan Aisyah kepada umat Islam sehingga kini?
- Adakah Aisyah hanya menjadi tempat rujukan wanita sahaja?
Jika ini antara persoalan yang bermain di benak dan fikiran kalian, aku mencadangkan kalian belilah buku Aisyah Yang Cerdas & Dicintai ini. Amat berbaloi untuk dimiliki terutamanya makhluk Allah yang bergelar perempuan. Lelaki juga disarankan untuk memilikinya.
Wallahualam...
Comments
Post a Comment