Si Bujang Lapok Terakhir...
Bangun subuh, terkejut dengan berita pemergiannya. Walaupun tak kenal rapat, masih sempat bergambar kenangan bersama allahyarham.
Menurut rakan saya yang baru sahaja menghubungi allahyarham sebelum itu telah memberitahu beliau sudah tidak sihat sejak 2 bulan lalu. Pak Ajis terkenal dengan sikapnya yang merendah diri dan mudah mesra.
Beliau seorang yang pemalu (mungkin dengan orang yang baru dikenali) atau mungkin kerana sedang bertugas sebagai pengacara undangan di Road To Final : Pertandingan Pencarian Model Tudung Fareeda beberapa tahun lalu. Tapi dalam bab kerja, beliau seorang yang sangat profesional.
"Pak Ajis, boleh saya tangkap gambar dengan Pak Ajis?" tanyaku kepada allahyarham. Bimbang juga jika permintaanku mengganggunya yang sedang bersiap-sedia untuk naik ke pentas.
"Eh, boleh, boleh!" balasnya dengan segera berpaling ke arahku.
Duduk di sisinya, terasa seperti duduk di sebelah Allahyarham P.Ramlee dan Shamsuddin. Ya. Walaupun kami tidak dapat berbual lanjut, tapi perasaan teruja itu tetap ada.
Teringat juga sewaktu diploma dahulu (tak silap saya), kawan serumah saya (bestfriend) pelajar Masscom bercerita dan tunjuk video kepada saya sewaktu event Masscom (tak ingat apa nama event tu) di Saloma Bistro, Datuk Aziz Satar tiba-tiba masuk ke dewan menunggang basikal tua. Waktu itu pihak penganjur saja yang tahu gimik itu. Cameraman pun tak tahu sampai terkejut dan tak sempat rakam aksi beliau.
"Kenangan Mengusik Jiwa" siri Upin & Ipin juga adalah salah satu episod kegemaran saya. Baru bercadang nak beli DVD episod yang ada menggunakan suara allahyarham.
"Walaupun rupamu tidak ku kenal, tetapi LOBANG HIDUNGMU tetap menjadi POJAAN hatiku!" - Seniman Bujang Lapok.
Ya. Dialog paling sinonim dengan Datuk Aziz Satar. Tak lupa juga filem Ali Baba Bujang Lapok. Babak yang paling saya suka sewaktu allahyarham berhasil mendapatkan syiling emas penyamun, beliau berlatih bagaimana mahu berjalan seperti orang kaya dengan gayanya.
Hilangnya permata seni...si Bujang Lapok terakhir...
"DaripadaNya kita dihidupkan, kepadaNya kita kembali"
Comments
Post a Comment