Sesegar Nailofar KEMBAR Salju Sakinah?

Bismillahirrahmanirrahim...

Ha? Kenapakah? Apa kembar-kembar ni? Novel pun ada kembar ke?

Eh? Samalah cover buku dengan latarbelakang. Hihihi...

Hihihi...untuk pengetahuan semua, novel Sesegar Nailofar adalah novel pertama Zaid Akhtar yang saya baca sebelum novel Salju Sakinah, Justeru Impian di Jaring dan Rona Bosphorus.

Kenapa saya baru buat review tentang novel ini? Mudah sahaja. Kali pertama saya membaca novel ini adalah pada tahun 2002/2003. Waktu itu perkataan 'blog' dan 'blogger' tidak pernah didengar seperti sekarang. Jadi, bagaimana pula saya mahu menulis review jika saya tidak tahu apa itu blog?

Novel ini saya sudah baca beberapa kali beberapa tahun lalu sebelum saya kehilangannya ketika proses pinjam meminjam antara rakan-rakan kolej. Akhirnya saya tidak tahu siapa yang akhir sekali meminjam novel saya ini.

Saya diperkenalkan dengan novel ini oleh penulis sendiri ketika beliau menjadi guru praktikal di sekolah menengah saya. Teringat lagi bagaimana dia begitu teruja bercerita tentang novel ini (kalau tidak silap saya ini novel pertama beliau). Saya pun jadi teruja dengan minat beliau.

Berbalik kepada soal kehilangan novel saya ini, setelah sekian lama mencari, saya terjumpa novel ini di MPH SACC Mall Shah Alam pada ketika itu. Subhanallah terus saja saya beli walaupun saya sudah membacanya. Dan untuk menulis ulasan saya tentang novel ini, saya membaca semula Sesegar Nailofar supaya ulasan saya lebih tepat dan tidak tersasar daripada jalan cerita asal.

Sinopsis cerita berkisarkan tentang hidup seorang pemuda Melayu bernama Iqbal yang sedang menuntut di Universiti Yarmouk, Jordan di tahun akhir pengajian. Dia dikelilingi sahabat-sahabat yang hebat dan sentiasa mementingkan persaudaraan di antara mereka. Malah mereka bersama-sama berganding bahu berkongsi suka duka kehidupan di perantauan dengan pelbagai dugaan yang menimpa sahabat-sahabat mereka.

Di sebalik kehidupan Iqbal dan sahabatnya, Iqbal juga berdepan dengan soal hati dan perasaan di antara dua gadis, Salsabila cinta hatinya dan Nur Hazwani si pencuri hati (secret admirer). Kedua-dua gadis ini punyai kelebihan tersendiri sehingga Iqbal terkeliru dengan dirinya sendiri. Siapakah yang menjadi pilihan Iqbal?

Saya amat menyenangi naratif novel ini kerana hampir keseluruhan jalan cerita berlatar belakangkan bumi Jordan. Saya bagaikan dibawa ke Jordan dengan gambaran terperinci yang diceritakan oleh penulis yang saya kira penulis mempunyai pengalaman menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar di sana. Apa yang paling saya sukai, novel ini penuh dengan fakta-fakta yang tidak kita ketahui tentang sejarah Jordan, Ikhwanul Muslimin, HAMAS, Palestin, Israel dan beberapa perkara lain yang berkaitan. Novel ini sarat dengan maklumat penting sebegini.

Ini bukan novel biasa tetapi novel perjuangan Islam dari kaca mata seorang pemuda muslim bernama Iqbal. Bagaimana kebenciannya melihat dan mendengar penindasan yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam kepada mereka yang tidak berdosa terutamanya rakyat Palestin. Bagaimana ukhuwwah yang terbina menyebabkan Iqbal melakukan pengorbanan yang besar demi menyelamatkan saudara seIslamnya.

Watak Iqbal bukanlah watak seorang lelaki Melayu muslim yang biasa tetapi bercita-cita besar dan sentiasa dahagakan ilmu agama dalam mempersiapkan diri menghadapi cabaran dunia yang semakin dilanda kekejaman di antara manusia.

Baiklah. Kenapa saya katakan novel Salju Sakinah adalah kembar kepada novel Sesegar Nailofar? 

Banyak persamaan di antara kedua-dua novel ini iaitu lokasi jalan cerita ini berlaku. Saya juga baru terperasan kedua-dua novel ini selalu menonjolkan PERMAI dan PERMAYA. Jadi watak Iqbal dan Sumayyah sangat sama.

Begitu juga dengan ukhuwwah antara Iqbal dan Sumayyah bersama rakan serumah mereka. Hubungan kekeluargaan sangat akrab antara mereka cuma bezanya novel Sesegar Nailofar menonjolkan watak muslim manakala Salju Sakinah menonjolkan watak muslimah. Naratif novel ada sedikit persamaan dalam beberapa perkara tetapi tidak terlalu ketara.

Sebahagian novel Sesegar Nailofar adalah berdasarkan kisah benar.

Ya novel ini harus dimiliki.

P/S : Ada ura-ura cadangan untuk menerbitkan novel ini dengan cover baharu. Nantikan! 


Comments

Popular Posts