Diari Milik Siapa?

Bismillahirrahmanirrahim...

Diari siapa pula saya petik ni? Diari saya? Saya ni bab diari lemah sedikit dan tak rajin nak menulis. Bagi saya, perkara peribadi hanya simpan kemas dalam hati. Saya tak mahu orang lain jumpa dan baca diari saya selepas saya mati. Malu!

Okay. Sebelum mengulas lanjut diari ini milik siapa, kita berkenalan dulu dengan Puan Penulis.

Saodah Lasim. Nama yang tidak asing dalam dunia penulisan dan penerbitan melalui Ana Muslim.
Antara judul karya yang dihasilkan beliau ialah Syukran Ya Allah, Ana Tersesat Di Lembah Hanuman, Temui Ana Di Facebook dan Rindu Ayah. Saya mengenali penulis ketika kerja bersama sebagai editor di Ana Muslim.

Beliau merupakan salah seorang penulis kegemaran saya masa kini untuk novel seram dan thriller. Karya pertama penulisan dan terbitan CK Publication milik beliau ialah Sayang Scarlet, satu percubaan yang sangat membanggakan. Saya lihat kecenderungan beliau dalam menulis novel bergenre seram dan thriller.

Diari Dajal




Novel kedua CK Publication ini berbeza tetapi masih mengekalkan elemen seram dan misteri. Kali ini novel Diari Dajal menyajikan tujuh buah kisah tersendiri.


Kerja Oh Kerja

Kehidupan beberapa watak yang saling tidak mengenali tetapi bertemu dalam situasi yang tidak dijangka. Tidak berapa lama selepas saya membaca kisah ini, perkara yang sama berlaku di luar sana dan menjadi tajuk berita.

Situasi kisah ini buat saya berfikir, desakan hidup membuatkan mereka terpaksa membuat pilihan yang salah. Yang indah dilihat di depan mata, belum tentu indah disebaliknya. Urusan yang nampak mudah, belum tentu tidak berisiko.

Kedua-dua watak utama mempunyai satu tujuan yang sama. Keputusan yang dipengaruhi orang rapat, kadangkala tidak menjanjikan hidup yang bahagia sehingga melibatkan nyawa orang lain. Hidup bermasyarakat ditonjolkan di dalam kisah ini.

Siapa yang akan selamat dan siapa yang akan tersadung?


Ada Apa Dengan Guli?

Apabila membaca cerpen ini, saya teringat peristiwa yang telah saya alami di pangsapuri sewa bersama rakan beberapa tahun lalu. Ianya kerap berlaku tetapi tidak sehebat yang digambarkan oleh penulis.

Gangguan-gangguan ini biasa terjadi kepada ramai penyewa. Tetapi sedarkah kita samada ianya hanya mainan perasaan atau realiti? Jika hanya sekadar bunyi-bunyian, kita akan abaikan tetapi jika ia muncul di hadapan mata, ke mana mahu lari?

Kisah rakan serumah ini saya kira dekat dengan pengalaman pembaca.


Aku Bukan Pembunuh

Saya suka kisah ini. Menarik! Selalu saja dengar tentang 'hantu' jenis ini tetapi tidak tahu secara mendalam tentangnya.

Cerita yang bermula daripada seorang nenek kepada cucu berubah menjadi realiti apabila sejarah lama berulang kembali.

Ada jurang zaman di dalam cerita ini tetapi satu watak yang menyambungkan kedua-dua zaman itu bersama tanpa saya duga. Cerita ini juga sedih dan punyai pengajaran sendiri.

Sekali lagi hidup bermasyarakat ditonjolkan. Kali ini lebih terkesan kerana melibatkan emosi dengan peristiwa ngeri yang berlaku. 


Diari Dajal

Ini cerita kegemaran saya. No.1 dalam banyak-banyak kisah dalam buku ini.

Sejujurnya saya tidak pernah menonton filem Moana tetapi kerana mengikuti kontroversi dan debat yang tular di media sosial berkenaan kepercayaan suku kaum dan agenda iluminati, maka ketika membaca cerita ini, saya dibayangi watak-watak dalam filem itu.

Cerita ini panjang dan terperinci. Saya anggap penulis melakukan kajian yang mendalam ketika merangka cerita ini. Daripada watak utama bersendiri sehinggalah dia mempengaruhi umat manusia yang lemah dan yang beriman. Situasi ketika watak utama bermaharajalela membuatkan saya terfikir, bagaimanakah manusia bertahan dengan iman dan pegangan agama pada akhir zaman nanti.

Dialog-dialog yang ditulis juga membuatkan saya berbisik di dalam hati, ayat-ayat manis watak utama ini memikat hati manusia yang hanya pentingkan diri sendiri untuk kesenangan mereka sahaja. Jika kita di situasi itu, mampukah kita bertahan?

Minta dijauhkan daripada fitnah Dajal yang semakin berleluasa.


Dendam Atau Kebetulan?

Saya suka! Kisah ini menarik! Rupanya kisah ini diambil daripada pengalaman sebenar.

Bermula sebagai main-main dan usik-mengusik, watak utama diganggu oleh makhluk yang tidak diingini.

Gangguan tidak hanya terhenti di situ sahaja. Ia berlanjutan mengekorinya.

Kisah ini turut sedikit sebanyak memberi gambaran dunia persilatan dan nilai persahabatan yang tinggi di antara semua watak di dalam cerita ini. Ia juga mengajar pembaca tidak perlu takut yang melampau-lampau kepada makhluk ghaib sebaliknya berusaha mendekatkan diri kepada Sang Pencipta manusia.


Cuti, Chalet Dan...

Kisah percutian keluarga. Menarik kerana tempat percutian ini unik dalam gambaran saya.

Apa yang lebih menarik ialah apa yang terjadi selepas itu. Bagaimana satu keluarga terutamanya ibu bapa melindungi anak-anak mereka daripada diapa-apakan oleh sesuatu yang tidak diingini.

Bagi saya, ada elemen klasik di dalam penceritaan ini. Ianya tentang kuasa, sikap melindungi kepentingan masing-masing dan hormat-menghormati. Atas dasar itulah saya katakan ianya klasik!


Tuan Tasik

Cerita ini juga berjaya menarik minat saya untuk membaca.

Ya saya tahu tajuknya agak klise dan boleh dijangka. Perbezaannya ialah antara 2 zaman berbeza menghadapi Tuan Tasik yang sudah berkurun bersarang 'di sana'. Tuan Tasik juga semakin lama, semakin dilupakan oleh penduduk yang silih berganti dan kepesatan pembangunan di kawasan itu.

Adakah tragedi akan berulang kembali?

Walaupun kisah ini agak berat dan serius tetapi ada watak yang akan menghiburkan pembaca pada saat genting.


Saya beri 4/5 bintang untuk novel ini.

Bagaimana untuk mendapatkan novel ini? Klik pada link ---> CK Publication

Comments

  1. Terima kasih Diyana , atas sokongan. Insyallah, akak akan terus belajar memperbaiki penulisan. :)

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts