Kingsman : The Golden Circle
Filem sekuel Kingsman mula ditayangkan semalam (20/9/2017) di Cineplex Labuan, jam 7:30 malam.
Di awal filem, babak aksi sudah bermula. Dengan berlatarbelakangkan lagu dari radio kereta Eggsy yang tidak sengaja terpasang, pertarungan mereka jadi catchy seperti babak di gereja dalam filem pertama. Tahan lasak kereta Eggsy walaupun diserang bertubi-tubi. Kagum sekejap.
Babak drift Eggsy paling WOW! Lama dia drift sepanjang selekoh jalan. Bertambah kagum!
Musuh lama dan baru muncul meranapkan ibu pejabat dan empayar Kingsman sehingga menggugat kepercayaan Eggsy terhadap Merlin. Masa ini anda akan berasa betapa tidak stabilnya emosi mereka berdua mengatasi konflik yang terjadi.
Dalam pada mereka hilang arah untuk memulai penyiasatan dengan petunjuk yang sedikit, mereka bertemu dengan Statesman, sebuah pertubuhan perisik rahsia seperti Kingsman, terletak di Kentucky. Walaupun Statesman ini bercirikan koboi, namun alatan dan markas mereka canggih dan mengagumkan.
Watak Ginger adalah sama seperti Merlin, cuma dia bekerja untuk Statesman.
Jika filem pertama, isunya adalah berkaitan teknologi, internet, hiburan dan media sosial, filem kedua Kingsman ini menyentuh tentang najis dadah dalam pelbagai bentuk, dibantu dengan teknologi oleh seorang psikopat bernama Poppy. Terlihat baik, manis, bijak dan licik, Poppy sebenarnya seorang genius yang kejam dan sadis dalam mencapai hasratnya. Ini digambarkan pada pengaruh dan markas ciptaannya. Lakonan Julianne Moore sebagai Poppy yang tidak lekang dengan senyuman, benar-benar menjengkelkan.
Eggsy pula sudah mempunyai komitmen dengan Puteri Tilde (puteri yang diselamatkannya dalam filem pertama). Hubungan mereka serius sehingga bertemu dengan raja dan permaisuri (ibu bapa Puteri Tilde).
Selain daripada itu, banyak flashback daripada sedutan filem pertama yang akan membuatkan anda berasa sebak dan beremosi ketika Eggsy terkenang Harry. Jelas, Eggsy sangat rindukan Harry yang telah membentuk jati diri Kingsman dalam diri Eggsy.
Filem ini secukup rasa. Ada rasa sedih, geram, lucu, bahagia, terharu dan sebagainya. Sejujurnya, filem ini lebih banyak kelakar daripada yang pertama, tambahan apabila melibatkan babak Harry.
Ya, Harry masih hidup cuma dia hilang ingatan dan sukar menyesuaikan diri dengan keadaan dirinya sekarang. Kesan sampingan akibat ditembak Valentine dahulu.
Elton John juga berbakat dalam lakonan rupanya. Tidak disangka, wataknya yang seperti tak ada fungsi itu, sebenarnya sedikit sebanyak membantu Kingsman. Puas hati bila tengok Elton John puas hati ketawa.
Filem ini padat dari permulaan cerita sehingga akhir. Semua babak ada tujuan masing-masing. Tidak ada omong-omong kosong. Teknik penyuntingan di babak pertarungan akhir, sama seperti babak pertarungan di gereja dalam Kingsman : The Secret Service. Sudah jadi trademark mereka.
Tidak kurang juga filem kali ini banyak pengorbanan telah berlaku untuk membanteras kejahatan.
4 1/2 bintang. 1/2 bintang ke mana? 1/2 bintang tu :'(
Comments
Post a Comment